Kereta Toyota Camry yang terbakar di Kilometer 64 Lebuhraya Utara Selatan (utara) dekat Kluang pagi tadi. FOTO ihsan polis
Kereta Toyota Camry yang terbakar di Kilometer 64 Lebuhraya Utara Selatan (utara) dekat Kluang pagi tadi. FOTO ihsan polis
Nurul Amanina Suhaini

SEORANG wanita terselamat apabila kereta Toyota Camry dipandunya terbakar selepas terbabit kemalangan di Kilometer 64, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), dekat Kluang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian 8.15 pagi itu menyebabkan kesesakan sejauh 10 kilometer akibat kerja-kerja memadam api dan mengalihkan kenderaan di lokasi.

Katanya, pihaknya menerima maklumat satu kemalangan membabitkan dua kereta iaitu Toyota Camry dan Proton Saga yang kedua-duanya dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan, pemandu Toyota Camry berusia 20 tahun dari Taman Skudai Baru, Johor Bahru, itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang Proton Saga yang dipandu wanita berusia 31 tahun.

“Ia menyebabkan Proton Saga berkenaan terbabas dan melanggar besi penghadang di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Abduh berkata, akibat pelanggaran itu, Toyota Camry berkenaan terbakar manakala Proton Saga terbabit rosak teruk di bahagian hadapan.

Katanya, bagaimanapun semua mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Kluang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Zaiful Zainon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.55 pagi.

Katanya, sebuah jentera dan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Toyota Camry terbabit terbakar kira-kira 80 peratus dan operasi ditamatkan pada 9.06 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 9:24 PM