ANTARA barang yang dirampas. FOTO ihsan polis
Farah Suhaidah Othman


LELAKI berusia 26 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun di sekitar Ipoh sejak awal tahun ini.

Lelaki berkenaan ditahan jam 6.57 petang semalam di Jalan Kampung Dew bersebelahan stesen minyak di Simpang, Taiping.

Difahamkan, suspek ditahan ketika sedang memandu kereta jenis Toyota Altis yang dipercayai hilang di Dengkil, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berjaya mengesan kenderaan dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan pada kenderaan itu tidak sama dengan jenis kenderaan didaftar.

“Semakan lanjut mendapati nombor enjin kereta itu tidak mempunyai rekod JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) manakala nombor casis didaftar di bawah kenderaan jenis Toyota Altis.

“Kereta berkenaan dilaporkan hilang di Dengkil dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mazuki berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan terbabit menemui beberapa barang dipercayai disamun di beberapa lokasi di sekitar bandaraya ini.

“Antara barang yang dirampas termasuk 12 beg tangan dan beg laptop, tiga komputer riba dan dua telefon bimbit serta sebuah televisyen.

“Turut ditemui kad pengenalan seorang wanita, 14 kad pelbagai jenis dan 18 kad akses.

“Susulan itu, suspek ditahan dan semakan mendapati lelaki yang beralamat di Changkat Jering, Taiping itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Mazuki berkata, suspek kemudiannya ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 11:13 AM