KETUA Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani menunjukkan sisa plastik yang dibuang di tapak pembuangan sampah haram berdekatan Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang. FOTO Faliq Lajim


PENDUDUK di Pangsapuri Seri Perantau di Pelabuhan Klang, bimbang dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membakar bahan buangan di tapak pembuangan sampah haram berdekatan sehingga ada daripada mereka mengalami sesak nafas.

Difahamkan, sampah plastik dan sisa domestik dibuang di kawasan itu sebelum dibakar individu tertentu bagi mendapatkan besi, tembaga dan sebagainya untuk dijual.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Perantau, Mohd Shawal Sabtu berkata, kejadian itu berlaku apabila pihak bertanggungjawab membuang bahan buangan berkenaan sejak awal April lalu.

“Berdasarkan laporan yang kami terima, bahan buangan itu terdiri daripada sampah domestik daripada kilang selain sisa binaan seperti batu dan kayu.

“Kami percaya ia dibuang pihak tertentu bagi mengurangkan kos penghantaran berikutan tapak pembuangan sampah terletak agak jauh,” katanya kepada Harian Metro.

Kata beliau, bahan buangan di tapak sampah haram itu kemudian turut dibakar bagi mendapatkan hasil.

“Berikutan itu, penduduk pangsapuri Seri Perantau dan Kampung Kereta Api terpaksa berdepan masalah pedih mata, sesak nafas dan pening kepala jika menghidu asap sampah berkenaan,” katanya.

Bagi penduduk yang juga pesara, Anuar Yahya, 58, masalah itu turut mengakibatkan rata-rata tanaman pisang yang diusahakannya rosak.

“Sudah hampir tujuh tahun saya menanam pokok pisang itu untuk kegunaan sendiri dan disedekahkan kepada jiran. Namun, kini tanaman itu mula rosak sejak kebakaran berkenaan.

“Sebelum ini, pisang yang ditanam semua tumbuh segar malah daunnya digunakan untuk membuat alas makanan seperti nasi lemak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima lebih empat kali panggilan kecemasan membabitkan kebakaran di tapak berkenaan sejak bulan lalu.

“Ia adalah kebakaran berulang kerana membabitkan lokasi sama dan tempoh memadamkan api mengambil masa hampir empat jam.

“Malah, kami juga menggunakan mesin jengkaut untuk mengorek sampah supaya punca api di bahagian bawah boleh dipadamkan,” katanya menasihatkan orang awam menghentikan tindakan membakar sampah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 12:41 PM