AZMAN menunjukkan kakinya yang perlu dicuci dan dibalut. FOTO Aizat Sharif
AZMAN menunjukkan kakinya yang perlu dicuci dan dibalut. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


MENGHARUNGI kehidupan seharian dengan kaki kiri berbalut bagi mengelakkan cairan darah keluar secara berlebihan bukanlah sesuatu perkara yang menyenangkan.

Namun, itulah hakikat yang terpaksa ditempuhi bekas pengasuh kanak-kanak, Azman A Bakar, 38, yang sudah lapan tahun terpaksa berulang-alik ke klinik kesihatan kerajaan untuk membasuh luka kakinya selepas menjalani pembedahan penyakit untut atau kaki gajah atau nama saintifiknya ‘filariasis limfatik’.

Rutin hariannya itu bagaimanapun kini sudah terhenti kerana klinik sudah tidak dapat lagi menyediakan kelengkapan mencuci luka menyebabkan dia terpaksa membelanjakan wang yang banyak hanya mencuci luka kakinya itu.

Menceritakan kembali bagaimana dia boleh menghidapi penyakit ini, Azman berkata, simptom penyakit ‘kaki gajah’ ini sudah mula menyerang dirinya ketika dia berusia 19 tahun.

“Saya mula dihadapi penyakit ini pada 2000, yang mana saya sering diserang demam sehingga tiga hingga empat kali sebulan.

“Dalam masa sama kaki kiri mula membengkak dan bengkak ini ada kalanya reda namun ia tetap berulang dan bersilih ganti setiap bulan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Semadong, Padang Besar, baru-baru ini.

Katanya, dia cuba mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan sekitar Perlis namun ketika itu tiada satu jawapan konkrit daripada doktor atau pegawai perubatan berkenaan simptom penyakit dihadapinya.

“Selama lima tahun saya mengalami bengkak kaki kiri diselangi dengan demam dan pada 2005 doktor mengesyaki bahawa simptom ini kaitan rapat dengan penyakit ‘kaki gajah’ atau dipanggil untut.

“Sehinggalah 2008 bengkak kaki kiri mula membesar dan pecah sehingga mengeluarkan darah dan di saat itulah doktor mengesahkan bahawa simptom yang saya alami itu adalah penyakit ‘kaki gajah,” katanya.

Namun, pembedahan hanya dapat dilakukan pada 2011 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan sebelum menjalani pembedahan, rutin yang dilakukan adalah mencuci luka di kaki kirinya.

“Dalam pembedahan itu, lebihan daging seberat tujuh kilogram berjaya dibuang dan diganti dengan sel tisu pada badan,” katanya.

Azman berkata, selama lapan tahun dia berulang-alik ke Klinik Kesihatan Beseri untuk membersihkan luka di kaki kirinya.

“Luka ini harus dicuci tiap-tiap hari namun disebabkan kekangan kewangan, saya terpaksa menganjakkan tempoh itu sehingga tiga hari seminggu atau bila keadaan lebihan darah sudah mula keluar dengan banyak.

“Selain itu juga, klinik kesihatan kini tidak lagi dapat menyediakan bekalan pembalut kaki (bandage) dan saya harus mendapatkannya sendiri,” katanya.

Dia berkata, untuk setiap kali cucian luka dia memerlukan tiga gulung pembalut kain dengan setiap satu berharga RM8.

“Selain itu juga, saya memerlukan sebotol air garam biasa yang bertindak sebagai antiseptik yang berharga RM30 dan saya sudah berhabis wang untuk menyediakan barangan ini demi mencuci luka kaki,” katanya.

Azman merayu agar orang ramai dapat membantunya dalam menyediakan peralatan dan bekalan pembalut kaki serta air antiseptik yang diperlukan untuk mencuci luka kaki kirinya itu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menemuinya di Batu 8 1/2 Kampung Semadung, Jalan Kaki Bukit, Padang Besar atau menelefon nya di talian 010-842 0668.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 2:05 PM