WAN Saiful (tengah) bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika hadir majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU Arau di kediaman bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawan Teh. - FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LEBIH 20,000 pandangan rakyat dari seluruh negara diterima Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhubung mekanisme baharu pembayaran semula hutang PTPTN yang sebelum ini diperkenalkan dalam Kertas Konsultasi Rakyat.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, 20,000 pandangan itu mewakili 20,000 individu yang menghantar pendapat mereka melalui Whatsapp dan laman sesawang PTPTN.

“Kita menjangka menerima lebih lagi daripada jumlah yang terkumpul setakat ini.

“Pelbagai cadangan sudah diterima baik secara umum dan khusus, malah kami masih meneliti secara terperinci semua cadangan itu sehingga 13 Jun ini.

“Kemudian satu laporan dilkeluarkan pada hujung bulan ini bagi mengetengahkan idea yang dilihat bernas,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka BERSATU Arau di kediaman bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawan Teh, hari ini.

Sebelum ini, PTPTN sudah meneliti beberapa cadangan daripada kumpulan tertentu termasuk pemegang taruh, institusi kewangan, ahli akademik termasuk pensyarah dan mahasiswa dalam usaha merangka mekanisme baharu pembayaran balik hutang PTPTN.

Antara cadangan dikemukakan kumpulan terbabit dalam Kertas Konsultasi Rakyat termasuk melaksanakan semula penyenaraian hitaman nama peminjam ke luar negara dan peminjam tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan jika gagal melunaskan hutang.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, pihaknya masih mengadakan perjumpaan bersama pemegang taruh serta kumpulan tertentu lain bagi membincangkan idea baharu dan perjumpaan seterusnya diadakan esok.

“Diskusi umum di setiap universiti awam sudah dijalankan dan kita akan mengkaji dengan lebih menyeluruh setiap dapatan data dan pandangan daripada setiap diskusi itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 3:43 PM