LOKASI mayat yang ditemui. FOTO Ihsan Polis
Nurul Amanina Suhaini


MAYAT wanita warga tempatan ditemui terapung berhampiran jeti bot perairan Country Garden, Danga Bay, dekat Johor Bahru, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan awal mendapati mangsa, Lim Yeat Meei, 25, dipercayai bunuh diri.

Katanya, dalam kejadian jam 6.40 petang itu, anggota pejabat pertanyaan dari Balai Polis Bantuan Country Garden menerima maklumat berkaitan penemuan satu mayat perempuan.

“Siasatan awal ke atas pemeriksaan luar badan mangsa mendapati tiada kesan cedera atau kesan jenayah berlaku.

“Kenderaan si mati iaitu kereta jenis Perodua Axia ditemui berhampiran kawasan kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Shahurinain berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi, Jumaat lalu, pasukan perubatan hospital mengesahkan mangsa mati disebabkan lemas (drowning) dan tiada unsur jenayah.

“Waris sudah dibawa ke bilik mayat hospital untuk buat pengecaman pada jam 4.10 petang semalam.

“Hasil pengecaman ke atas mayat mangsa, bapanya dan ahli keluarga mengesahkan mangsa adalah anak kandungnya.

“Kira-kira jam 8 malam tadi, mayat mangsa diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 5:24 PM