KEADAAN trafik bergerak perlahan di Lebuhraya Pantai Timur. FOTO Aizuddin Saad
KEADAAN trafik bergerak perlahan di Lebuhraya Pantai Timur. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan
surayaroslan[email protected]


ALIRAN trafik menghala ke ibu kota sesak teruk berikutan ramai anak perantau kembali pulang selepas bercuti panjang sempena Aidilfitri.

Sehingga jam 4 petang tadi, aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan bergerak perlahan apabila 1.8 juta kenderaan mula bergerak pulang ke ibu kota bermula Jumaat lalu.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohd Yusof Abdul Aziz berkata, berlaku kesesakan di kawasan utara bermula jam 9 pagi tadi dari Sungai Petani ke Prai, Taiping hingga ke Hentian Bukit Gantang.

“Selain itu, trafik perlahan di kawasan mendaki iaitu Terowong Menora hingga ke Ipoh.

Kesesakan juga dilaporkan berlaku di Simpang Pulai, Tapah, Bidor hingga ke Slim River terutama kawasan mendaki,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Yusof berkata, pihaknya menjangkakan esok trafik masih tinggi tetapi lancar dan terkawal berikutan orang ramai sudah mula pulang ke ibu kota sejak Jumaat hingga hari ini.

“Sejak dua hari lalu dijangka 1.8 juta kenderaan berada di Lebuhraya PLUS setiap hari,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 sesak sehingga 14 kilometer.

“Berlaku kesesakan dari persimpangan Karak ke Lentang sejauh 14 kilometer dan aliran trafik juga perlahan dari persimpangan Lancang ke Karak dan juga sebelum Plaza Tol Gombak,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www. twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 5:29 PM