PENDUDUK Orang Asli yang berpindah ke dalam hutan. FOTO Syamsi Suhaimi
Mohd Zulkifli Zainuddin


LEBIH 100 penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang terpaksa berpindah ke kawasan hutan kerana bimbang 14 kematian yang berlaku sejak bulan lalu didakwa disebabkan sihir hitam.

Atas alasan itu, mereka tidak melaporkan 12 kematian yang berlaku, sebaliknya terus mengebumikan mangsa, selain meletakkan mayat di atas pokok berdasarkan adat suku terbabit.

Tinjauan di perkampungan Kuala Koh mendapati keadaan penduduk yang berpindah ke kawasan hutan amat menyedihkan berikutan suasana yang kotor, berbau dan dipenuhi lalat.

Mereka sanggup tinggal di bawah khemah yang dibina mengguna buluh selain beralaskan tikar kerana takut, sedangkan rumah yang disediakan di perkampungan Orang Asli yang terletak kira-kira lima kilometer, jauh lebih selesa.

Penghulu Aring 5, Raina Anjang, berkata, terdapat lebih 200 penduduk di perkampungan Orang Asli Kuala Koh, namun separuh daripadanya mengalami masalah kesihatan sama sehingga terpaksa dimasukkan Hospital Kuala Krai dan Gua Musang.

Beliau berkata, separuh daripadanya ‘melarikan diri’ ke kawasan hutan kerana bimbang kematian dan penyakit yang dialami penduduk disebabkan sihir hitam.

“Pada mulanya saya menerima maklumat terdapat ramai penduduk sakit di perkampungan Orang Asli Kuala Koh, sebelum terus ke sana kelmarin (Jumaat lalu).

“Sebaik tiba, saya dapati seorang penduduk baru saja meninggal dunia sebelum saya terus menghubungi pihak polis. Susulan itu, baru saya mendapat maklumat sudah 13 penduduk maut sejak bulan lalu tanpa mengetahui puncanya.

“Jika yang meninggal, penduduk Islam mereka akan dikebumikan, kalau bukan, mereka akan diletakkan atas pokok mengikut adat suku Batek,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Raina berkata, beliau mengesyaki masalah kesihatan yang dialami penduduk sehingga membawa kematian disebabkan penggunaan air sungai dan tadahan bukit yang tercemar sebagai bekalan minuman.

“Saya tidak mahu buat tuduhan tapi firasat saya kuat mengatakan air sungai tercemar adalah berpunca aktiviti perlombongan di atas bukit.

“Apa pun saya biarkan pihak berkenaan mengadakan siasatan lanjut.

“Buat masa ini, dewan terbuka di Aring 5 bersedia untuk menempatkan mereka daripada terus tinggal di kawasan kotor, namun ada antara mereka tidak mahu dan saya harap mereka akan berubah fikiran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 5:34 PM