LATHEEFA Koya ketika memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM Jumaat lalu. FOTO Nurul Shafina Jemenon


KETUA Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya disifatkan sebagai berani dan bersemangat perjuangan.

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin yang melihat ciri diperlukan itu bagi jawatan tertinggi SPRM berkata, beliau yakin Latheefa akan memberi perspektif dan semangat baharu kepada agensi berkenaan.

“Macam banyak orang, saya tidak kenal Ketua Pesuruhjaya baru SPRM, Latheefa Koya, secara peribadi.

“Saya kenali beliau daripada reputasinya sebagai peguam aktivis yang mewakili isu pinggiran dan anak guaman yang dilupakan oleh masyarakat arus perdana.

“Saya simpulkan beliau sebagai berani (fearless) dan bersemangat perjuangan (crusading) - satu sifat yang perlu ada kepada penjawat nombor satu SPRM,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau, hari ini.

Pelantikan Latheefa bagi jawatan itu untuk tempoh kontrak dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu mendapat reaksi pelbagai pihak.

Namun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata, pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah keputusan muktamad.

Malah Perdana Menteri dilaporkan berkata, lantikan itu dibuat seperti mana beliau melantik pegawai lain.

Mengulas lanjut, A Kadir yang juga Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri berkata, beliau tidak mempedulikan kontroversi yang cuba dicetuskan oleh beberapa individu dan kelompok berkepentingan.

“Saya yakin Latheefa akan memberi perspektif dan semangat baharu kepada agensi penting itu,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 5:54 PM