PERKAMPUNGAN Orang Asli suku Batek di Kuala Koh. FOTO Syamsi Suhaimi
BERNAMA

KERAJAAN memandang serius isu kematian dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dakwaan kematian suku kaum Batek itu disebabkan pencemaran kolam sumber air akan disiasat dengan teliti.

Katanya, pihak berkuasa akan melihat kegiatan perlombongan dan pembalakan di sekitar kawasan itu untuk memastikan segala prosedur berkaitan alam sekitar dipatuhi.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit jika mendapati kematian disebabkan oleh pencemaran sumber air Orang Asli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan juga akan mengkaji dasar alam sekitar berhubung aktiviti pembalakan dan perlombongan terutama berkaitan masalah yang dihadapi Orang Asli.

“Penguatkuasaan lebih ketat dan dasar pencegahan adalah antara beberapa langkah yang akan diambil perhatian,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan sentiasa mendoakan keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang sedang menjalani rawatan.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 7:16 PM