GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zaid Salim


DUA pelancong lelaki lemas ketika melakukan aktiviti air dalam dua kejadian berbeza di Pulau Redang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, kejadian pertama membabitkan warga emas berusia 58 tahun dan kedua, lelaki berusia 23 tahun.

“Dalam kejadian pertama, polis menerima panggilan daripada pembantu perubatan Klinik Pulau Redang memaklumkan seorang lelaki berbangsa Cina meninggal dunia dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti air di pulau berkenaan, jam 10.25 pagi.

“Sebelum kejadian jam 9.40 pagi itu, seorang lelaki yang berada di Pasir Akar, pulau berkenaan untuk melakukan aktiviti snorkeling terlihat kawannya yang juga mangsa dikenali sebagai Lian Feet Yeow meminta tolong,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Katanya, melihat keadaan mangsa yang dikatakan tenggelam timbul itu, dia bersama beberapa rakan mengambil tindakan segera turun ke laut untuk memberi bantuan.

Beliau berkata, usaha rakan terbabit berjaya membawa naik mangsa ke pantai dan diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh pengawal snorkeling sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan pulau berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Razmi, mangsa berusia 23 tahun dan tinggal di Saujana Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu gagal diselamatkan, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak klinik berkenaan.

Dalam kejadian kedua pula, katanya, mangsa berusia 58 tahun dikenali sebagai Lim Wei Harng beralamat di Lebuh Sungai Ara 1, Taman Seri Acres, Bayan Lepas, Pulau Pinang, dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti air di kawasan Pantai Pasir Panjang, 6.40 petang hari sama.

Katanya, mangsa yang juga pelanggan Redang Reef Resort berjaya diselamatkan sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas di Redang Laguna Resort.

Beliau berkata, kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, untuk bedah siasat.

Katanya, kedua-dua kejadian itu masih dalam siasatan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 1:38 AM