GAMBAR dirakam menggunakan dron menunjukkan Sungai Aring yang tercemar. Ia turut mengalir ke anak Sungai Lebir.
Mohd Zulkifli Zainuddin


PENCEMARAN air bukit dan anak Sungai Lebir dekat Kampung Kuala Koh di sini, dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih manganese atau keluli sehingga menyebabkan kematian 14 penduduk Orang Asli suku Batek, setakat ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar supaya tidak hanya membuat tuduhan semata-mata.

Beliau berkata, sampel air juga sudah diambil bagi menentukan sama ada ia tercemar hasil daripada aktiviti perlombongan atau sebaliknya.

“Saya tidak mahu buat tuduhan dan kita akan dapat maklumat sebenar untuk kepastian. Jawapan mungkin kita beri dalam masa terdekat menerusi sidang media.

“Cuma hari ini, berdasarkan tinjauan, kita bimbang bahan kimia dari lokasi perlombongan yang terletak di atas bukit mengalir memasuki sungai sebaik hujan lebat melanda kawasan ini.

“Disebabkan penduduk Orang Asli ini bergantung kepada air sungai dan bukit, kemungkinan pencemaran dari lombong terbabit sudah tercampur sebelum digunakan sebagai sumber minuman buat mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tengku Zulpuri berkata, pihaknya mendapati syarikat yang menguruskan pelombongan terbabit sejak 2016 mempunyai lesen daripada kerajaan negeri sehingga 2023.

Bagaimanapun, katanya, bagi kebenaran melakukan operasi melombong yang dikeluarkan Kerajaan Pusat sudah tamat tempoh pada 2017 lalu.


TENGKU Zulpuri (kiri) mengambil sampel tadahan air bukit yang digunakan penduduk Orang Asli.


“Namun kita lihat, peralatan melombong masih terdapat di lokasi terbabit. Kemungkinan mereka masih melakukan aktiviti berkenaan secara haram namun kita tidak mahu buat tuduhan dan siasatan lanjut akan dilakukan.

“Mengikut dakwaan penduduk Orang Asli, 14 kematian berlaku termasuk dua daripadanya dilaporkan kepada pihak berkuasa. Jadi kita tidak mahu keadaan lebih teruk berlaku terhadap mereka.

“Siapa lagi mahu menjaga mereka daripada golongan minoriti kalau bukan kita. Kita akan cuba mencari penyelesaian supaya mereka tidak terus dibelenggu masalah mendapatkan sumber air bersih,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 6:01 AM