Norsyazwani Nasri


HASRAT melanggan pelacur bertukar tragedi selepas seorang lelaki disamun di sebuah rumah tumpangan, di Jalan Central, Sibu, semalam.

Difahamkan, mangsa berniat melanggan pelacur selepas isterinya sudah lama tidak melayan dia selain baru menerima gaji.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, lelaki itu diugut dengan pisau oleh seorang daripada tiga penjenayah sebelum melarikan dompet mangsa mengakibatkan dia kerugian RM800.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa yang berusia 52 tahun tergoda dengan kelibat seorang wanita yang melambai ke arahnya untuk menawarkan khidmat seks.

“Dengan bayaran antara RM50 hingga RM60, mangsa naik ke rumah tumpangan dan tidak lama selepas itu, dia didatangi tiga lelaki dengan niat memeras ugut.

“Seorang daripada suspek mengeluarkan pisau mengugut mangsa. Bimbang keselamatan mangsa menghulurkan RM50, namun ditolak suspek,” katanya, hari ini.

Stanley berkata, suspek kemudian merampas dompet termasuk kad pengenalan mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa bergegas ke pondok polis di Pusat Transformasi Bandar (UTC) untuk membuat laporan,” katanya.

Beliau berkata, kawasan kejadian itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan mangsa tidak dapat memberi gambaran suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kes samun berkumpulan bersenjata pisau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 2:18 PM