KETUA Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa (tiga dari kanan) menunjukkan motosikal bersama gerabak digunakan untuk mencuri hasil tanaman penduduk kampung di Sungai Air Tawar sejak tiga bulan lalu. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


KEGIATAN jenayah empat lelaki termasuk dua beradik mencuri buah kelapa dan buah kelapa sawit milik penduduk kampung di Sungai Air Tawar sejak tiga bulan lalu terbongkar selepas diberkas polis.

Semua suspek berusia 28 hingga 43 tahun ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Perenggan, Sabak Bernam, pada jam 12.10 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, ketika ditahan kesemua suspek berada dalam keadaan khayal dipercayai menagih dadah.

“Hasil pemeriksaan sekitar rumah itu, polis merampas peralatan mengait buah kelapa dan buah kelapa sawit, motosikal jenis Suzuki Smash bersama gerabak dan 20 biji kelapa muda.

“Turut dirampas dalam serbuan itu, tiub lutsinar mengandungi dadah disyaki heroin dan syabu,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Sungai Air Tawar, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati kesemua suspek positif dadah selain mempunyai rekod lampau narkotik dan jenayah.

“Semua suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 3:45 PM