PERODUA Axia dipandu seorang lelaki yang terbabas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. FOTO IHSAN POLIS
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menghala ke pusat bandar berhampiran Markas Tentera Udara Malaysia (TUDM), Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Axia dipandu lelaki berusia 30-an jam 10.30 pagi tadi.

“Berdasarkan keterangan saksi yang berada di belakang kenderaan dipandu mangsa, kereta itu terbabas sendiri lalu melanggar tembok batu di bahu jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, pemeriksaan terhadap mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

“Semakan mendapati, kereta ini didaftarkan di bawah nama sebuah syarikat perkhidmatan sewa kereta beralamat di Bandar Sunway, Selangor.

“Bagaimanapun, hasil semakan lanjut mendapati alamat berkenaan tidak wujud seperti didaftarkan pada rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 4:32 PM