PAPAN tanda bermaksud Jangan Buang Sampah di Jalan Parit Ibrahim, Pontian. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


MUNGKIN bahasa yang digunakan agak kasar, namun penduduk terpaksa berbuat demikian bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat larangan.

Papan tanda yang dipaparkan di Jalan Parit Ibrahim, di sini, berbunyi ‘Oii monyet... jangan buang sampah di sini lagi’ bagaimanapun dilihat berkesan berbanding papan tanda amaran dan denda yang disediakan pihak berkuasa sebelum ini.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 38, berkata penduduk terpaksa berbuat demikian sejak kira-kira dua bulan lalu apabila masih ramai pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan berkenaan walaupun pihak berkuasa memberi amaran jangan berbuat demikian.

“Disebabkan terlalu berang dengan longgokan sampah dan beranggapan mereka yang membuang sampah itu tidak faham bahasa Melayu yang sopan, ada penduduk nekad menulis dalam bahasa agak kasar bertujuan menyelesaikan masalah longgokan sampah.

“Kedudukan kawasan ini bertentangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perhentian dan penduduk tahu bahasa digunakan tidak elok, namun longgokan sampah selama ini bukan sahaja menyebabkan bau busuk malah membahayakan kesihatan dan nyawa pelajar.

“Ini kerana, sampah berkenaan akan bertaburan apabila dimakan anjing liar, menyebabkan pembiakan lalat dan longgokan itu menyebabkan pemandu laluan ke Pontian dan Benut terpaksa mengelak menjadikan jalan dua lorong kepada satu dan membahayakan nyawa pengguna serta pelajar sekolah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, penduduk menyokong tindakan mereka yang memasang papan tanda itu kerana sikap pentingkan diri sendiri mereka membahayakan nyawa orang lain.

Katanya, sebelum ini pihak berkuasa memasang tanda amaran namun tidak dipatuhi sehinggalah penduduk memasang sendiri papan tanda berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Mohd Nor Sazlan Abd Razak ketika dihubungi berkata, orang ramai dinasihatkan membuang sampah di tong besar yang disediakan di pusat bandar.

“Kami maklum ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan berkenaan dan sebelum ini memasang papan tanda amaran bagi mengelak ia berulang.

“Kami kerap memantau kawasan pembuangan sampah haram dan akan menjalankan siasatan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Orang ramai mempunyai maklumat dan bukti seperti gambar pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah diminta tampil ke pejabat MDP bagi membolehkan kami menjalankan siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 6:27 PM