GAJAH yang ditemui mati di Kampung Sri Timur 3, Kluang, dipercayai diracun pihak tidak bertanggungjawab, Selasa lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ibrahim Isa


JOHOR BAHRU: Sengaja sapukan racun pada pokok pisang. Itu antara hasil siasatan awal dilakukan terhadap punca kematian misteri tiga gajah betina yang ditemui di sebatang jalan di Kampung Sri Timur 3, Kluang, Selasa lalu.

Sumber berkata, hasil siasatan dilakukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak menolak kemungkinan unsur khianat yang menjadi punca kematian mengejut tiga gajah berkenaan.

Menurutnya, siasatan bagaimanapun turut dilakukan terhadap kemungkinan lain antaranya gajah berkenaan termakan racun tanaman kontan di kawasan itu.

“Berdasarkan siasatan, kumpulan gajah itu memasuki kawasan kampung susulan habitat asal mereka diceroboh.

“Terdapat kesan pencerobohan hutan di kawasan Empangan Kahang hingga ke kampung Ilham yang menjadi punca haiwan ini keluar dari habitat asal,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat kedua-dua kemungkinan itu termasuk faktor dengan sengaja meletak racun bagi tujuan membunuh.

Menurutnya, bangkai ketiga-tiga gajah itu sudah menjalani proses bedah siasat dan punca kematian disahkan akibat termakan racun.

“Sampel racun berkenaan sudah dihantar ke Jabatan Kimia dan memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan bagi mengetahui jenis racun berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan dan mengadakan sesi dialog bersama penduduk di sekitar kawasan kejadian selain meningkatkan pengawasan.

Rabu lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan sampel hati dan ginjal ketiga-tiga gajah perlu dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis toksikologi.

Berdasarkan kepada saiz tapak kaki, gajah yang mati dianggarkan berumur 18, 20 dan 22 tahun serta dipercayai gajah daripada pecahan kumpulan gajah (ID Tenggara) dari Hutan Simpan Lenggor.

Berikutan kematian tiga gajah berkenaan, Perhilitan mengesan baki dua lagi gajah yang dipercayai masih berkeliaran di kawasan terbabit bagi menjalankan usaha menyelamat.

Kes kematian gajah termakan racun bukan kali pertama terjadi di Johor kerana kes yang sama pernah berlaku pada 2018, membabitkan kematian seekor gajah jantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 5:00 AM