DUA lelaki Indonesia ditahan cuba seludup keluar 68 tong gas LPG di Serian, semalam. FOTO Ihsan 10 RRD
Garret Dawum


HASRAT dua lelaki warga Indonesia untuk menyeludup keluar 68 tong gas petroleum cecair (LPG), gagal apabila ditahan pasukan Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (RRD) di Tebedu Inland Port, di Serian, semalam.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 31 dan 34 tahun dipercayai cuba menyeludup barang kawalan ke Indonesia.

Ketua Kompeni C 10 RRD, Kapten Jorani Dawum berkata, lima anggota yang sedang membuat rondaan Operasi Awas terserempak dengan tiga van di lokasi yang terletak 600 meter dari sempadan Malaysia dan Indonesia.

“Anggota melihat beberapa individu sedang melakukan kerja memindahkan tong gas. Curiga dengan aktiviti itu, anggota terus menghampiri ketiga-tiga van.

“Namun, dua van dipandu laju ke arah Indonesia selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa. Kedua-dua suspek yang tidak sempat melarikan diri ditahan bersama van yang penuh dengan tong gas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek membawa tong gas bersubsidi tanpa sebarang dokumen kebenaran atau lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut mendapati dua warga Indonesia yang juga pemandu dan kelindan mempunyai dokumen dan pengenalan diri yang sah.

“Kedua-dua suspek bersama van Toyota Hiace dan 68 tong gas seberat 14 kilogram setiap satu diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

“Laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Tebedu dan rampasan dianggarkan bernilai RM37,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 10:29 AM