KEADAAN rumah di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Gombak, yang berselerak selepas dipecah masuk penjenayah. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


KEGEMBIRAAN seorang lelaki beraya di kampung halaman bertukar pilu selepas mendapati rumahnya di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Gombak, dipecah masuk, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, kejadian itu disedari pemilik rumah terbabit berusia 27 tahun apabila tiba di rumahnya selepas pulang dari kampung di Kedah pada 4.30 pagi.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia meninggalkan rumah terbabit dalam keadaan berkunci pada 6 Jun lalu kira-kira 3 pagi. Ketika mangsa tiba di rumahnya, dia mendapati kediaman itu dalam keadaan berselerak selain terdapat mendapati kesan umpil pada tingkap bilik bawah serta siling tingkat atas terbuka.

“Pemeriksaan mangsa mendapati wang tunai berjumlah RM300, cincin emas, subang emas, kerongsang emas, komputer riba milik syarikatnya dan telefon bimbit hilang dilarikan penjenayah. Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM60,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arshad berkata, modus operandi suspek adalah memasuki rumah terbabit melalui siling di tingkat atas sebelum keluar menerusi tingkap bilik.

“Semakan mendapati mangsa tidak mengisi borang pemakluman balik kampung sebelum meninggalkan rumah berkenaan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Arshad berkata, pihaknya turut menerima satu lagi laporan pecah rumah di kawasan perumahan terbabit pada 8 Jun lalu.

“Seorang wanita berusia 33 tahun memaklumkan dia menyedari rumahnya dipecah masuk apabila mendapati tingkap kediaman itu pecah dan dalam keadaan berselerak sebaik tiba 9.30 malam.

“Pemeriksaan dilakukan mangsa mendapati sebuah kamera miliknya yang dianggarkan bernilai RM1,000 hilang,” katanya.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah jiran mangsa mendapati terdapat kelibat suspek yang menutup mukanya menggunakan tangan.

“Usaha memburu suspek bagi kedua-dua kes terbabit sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 12:16 PM