DR AMALINA bersama ibu bapa Ainul Mardhiah. FOTO Ihsan IG Nur Amalina Che Bakri.
Hairulazim Mahmud


“SAYA tidak dapat mengawal perasaan yang bercampur-baur ini, ia umpama perjalanan yang penuh emosi dan pada masa sama amat menggembirakan,” luah pakar bedah pelatih, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Beliau berkata, pembedahan untuk membuang tumor di mulut Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin adalah pembedahan yang berisiko tinggi dengan banyak persiapan rapi perlu dilakukan bagi memastikan bayi itu selamat.

Katanya lagi, banyak perancangan disusun selain imbasan demi imbasan dilakukan, siri mesyuarat dan kesabaran yang tinggi.

“Apabila saya keluar dari dewan pembedahan dan melihat kedua ibu bapa Ainul, saya tak dapat mengawal perasaan.

“Alhamdulillah Ainul, seorang bayi yang sangat kuat, selepas lima jam dalam bilik pembedahan, tumor seberat 200 gram berjaya dikeluarkan.

“Kamu tak akan dapat bayangkan betapa cemasnya saya dalam (dewan) pembedahan itu, bayi yang kecil dan sangat cantik, jangan bimbang ‘baby’, semua yang ada di sini akan membantu kamu,” katanya melalui Instagramnya, hari ini.

Dr Nur Amalina berkata, pasukan pembedahan itu menggabungkan pelbagai kepakaran termasuk pakar kraniofasial, plastik, kepala dan leher diketuai Prof David Dunway dan Dr Juling Ong.

Katanya, mereka adalah pakar yang sangat berpengalaman dalam bidang masing-masing dan beliau berbesar hati menjadi sebahagian dari pasukan pembedahan terbabit.

“Ainul sekarang stabil dan sedang dipantau pasca pembedahan. Ainul, Wani (ibunya, Nurul Erwani Zaidi) dan Safi (bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak) adalah seperti keluarga saya. Mari kita berdoa untuk Ainul terus pulih dan terima kasih kepada semua yang mendoakan bayi ini,” katanya lagi.

Semalam, bayi sembilan bulan itu yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di London.

Dr Ong berkata, pembedahan itu mengambil masa selama lima jam bermula jam 11 pagi.

Beliau turut turut menyatakan penghargaan kepada Dr Nur Amalina atas inisiatifnya membantu ibu bapa Ainul Mardhiah membawa bayi berkenaan mendapatkan rawatan di London.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 9:30 PM