KECEDERAAN dialami mangsa selepas dirempuh motosikal ditunggang remaja lelaki. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

ANGGOTA polis trafik menerima lima jahitan pada kaki kiri selepas dirempuh motosikal ditunggang remaja lelaki di Jalan SG 5, Prima Sri Gombak, Gombak, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, kejadian berlaku ketika dua anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan pada 10.30 pagi.

“Ketika tiba di Jalan SG 5, Prima Sri Gombak, anggota polis terserempak motosikal Honda EX5 ditunggang seorang remaja lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis kemudian menghampiri remaja itu dan memperkenalkan diri sebelum memintanya menunjukkan butiran diri. Bagaimanapun, remaja itu terus memecut motosikal sebelum diekori anggota polis terbabit dengan bantuan anggota Balai Polis Prima sehingga ke Fasa 3 Taman Sri Gombak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika tiba di Simpang 3 Gombak, terdapat sekatan jalan raya dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

“Ketika cuba melarikan diri, suspek berusia 18 tahun itu melanggar seorang anggota polis trafik yang bertugas. Perlanggaran mengakibatkan anggota polis itu luka di bahagian kaki kiri dan tangan.

“Anggota polis kemudian mengekori lelaki itu sehingga ke stesen minyak di Kampung Kuantan Batu 3, Setapak, sebelum motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terjatuh,” katanya.

Arshad berkata, ketika mahu melakukan tangkapan, berlaku pergelutan kerana suspek bertindak agresif namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan pada badan suspek menemui satu allen key yang diubah suai dengan diasah tajam di bahagian hujung dan dua spanar pelbagai saiz dalam poket seluarnya dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah. Pemeriksaan awal terhadap motosikal digunakan suspek mendapati ia didaftarkan atas nama bapa remaja berkenaan,” katanya.

Katanya, anggota trafik yang cedera itu dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186/353 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 10:14 PM