Amran Yahya
am@hmetro.com.my


LELAKI ditahan polis di sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Melang, Kuala Pilah selepas dia mengamuk dan merosakkan harta benda di luar premis itu hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu membuat kacau dan bertindak agresif menyebabkan orang ramai yang melihat kejadian membuat laporan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, suspek dikatakan datang ke premis itu sebelum mengamuk dan mengeluarkan perkataan maki hamun.

“Suspek turut menumbuk dinding dan merosakkan pelbagai peralatan di luar premis berkenaan.

“Orang ramai yang bimbang melihat kelakuan suspek menghubungi polis untuk bantuan.

“Sepasukan anggota ke lokasi dan menahan suspek. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Haslah berkata, semakan mendapati suspek ada beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis belum dapat merakam keterangan suspek kerana berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Katanya, suspek direman 14 hari bermula hari ini sehingga 25 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 2:15 PM
Lelaki yang ditahan polis ketika mengamuk di hadapan kedai dobi layan diri di Pusat Komersial Jalan Melang. FOTO Amran Yahya