MANGSA tertusuk geriji besi dipercayai selepas pengsan dan terjatuh. FOTO ihsan pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

LELAKI warga emas yang mendapatkan rawatan di hospital di Taiping parah selepas tertusuk jerisi besi berdekatan kaunter farmasi hospital berkenaan semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, 78, dipercayai pengsan dan terjatuh pada jeriji besi ketika sedang menunggu anaknya mengambil ubat di kaunter farmasi berkenaan.

Menurut anak mangsa yang enggan dikenali, dia membawa bapanya ke hospital berkenaan kira-kira 6 pagi selepas bapanya itu mengalami masalah pendarahan.

“Selepas mendapatkan rawatan, saya pergi ke kaunter farmasi untuk mengambil ubat manakala bapa menunggu berdekatan kawasan kaunter itu.

“Selesai mengambil ubat, saya pergi untuk mencari bapa dan terkejut apabila mendapati orang ramai menjerit dan mengelilingi bapa.

“Saya menjadi panik dan terkejut apabila mendapati leher bapa tertusuk jeriji besi dan mengalami pendarahan yang banyak,” katanya.

Menurutnya, doktor dan jururawat yang berada di situ segera membantu dan membawa bapanya yang tidak sedarkan diri untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Katanya, bapanya kini masih menerima rawatan di hospital berkenaan selepas parah dan kini berada dalam keadaan stabil.

Semalam, tular di media sosial gambar lelaki warga emas tertusuk jeriji besi dan difahamkan mangsa mengalami pendarahan yang banyak akibat kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 2:48 PM