Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan menghantar sepasukan pegawai ke Indonesia untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan enam warga Malaysia yang di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah ke negara itu.

Timbalan Pengarah JSJN Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, pihaknya sudah mendapat identiti suspek yang ditahan, namun masih menunggu maklumat lanjut.

“Mengenai tangkapan enam warga Malaysia di Indonesia, JSJN sudah mendapat maklumat awal dari pihak berkuasa Indonesia. Polis sudah mendapat identiti suspek yang dikenal pasti dari Johor.

“JSJN dalam proses untuk menghantar pegawai ke Indonesia untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung tangkapan itu.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, enam suspek berkenaan ditahan dalam beberapa serbuan di lokasi berbeza dan kami difahamkan mereka mendarat di negara itu, namun dikesan menyeludup dadah menggunakan kapal persiaran,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Media melaporkan enam warga Malaysia ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah jenis syabu menggunakan kapal layar mewah.

Polis Indonesia menemui dadah jenis syabu seberat 37 kilogram dalam kapal layar yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara, pada 9.30 malam, Selasa lalu.

Menurut Direktor Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia Krisno Siregar, kapal itu dipercayai berlayar dari Johor ke Jakarta pada hari yang sama.

Berita berkaitan:

  • Pelayaran mewah, rupanya...
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 3:47 PM