KEDUA-DUA suspek kes curi motosikal berjaya diberkas pihak polis di Kampung Sikai, Seri Menanti. FOTO Amran Yahya


DUA remaja lelaki bawah umur ditahan polis kerana menunggang motosikal curi di Kampung Sikai, Sri Menanti, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, remaja berusia 12 dan 13 tahun serta masih bersekolah itu ditahan jam 4.30 petang, selepas cuba melarikan diri.

“Sebelum itu, polis menerima laporan mengenai kehilangan motosikal jenis Modenas Kriss daripada seorang lelaki berusia 71 tahun.

“Bertindak atas laporan itu, anggota polis melakukan rondaan di kawasan tempat tinggal mangsa lalu terserempak dengan motosikal dinaiki kedua-dua remaja terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Haslah berkata, mereka yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri dengan memecut laju menyebabkan polis mengejar sebelum mereka berhenti dan melarikan diri ke kawasan belukar.

“Polis berjaya menahan penunggang manakala pembonceng yang lari ke dalam belukar ditahan dengan bantuan penduduk kampung,” katanya.

Katanya, hasil soal siasat suspek mengaku mencuri motosikal berkenaan dan terbabit dalam beberapa kes curi lain.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 4:21 PM