Hazira Ahmad Zaidi


LELAKI berusia 32 tahun sanggup mereka cerita dengan membuat laporan polis palsu kononnya dia diragut empat lelaki untuk memperdayakan ibu mentuanya, Ahad lalu.

Bagaimanapun tindakan lelaki itu yang juga penjawat awam terbongkar apabila polis mendapati dia berbuat demikian selepas menggunakan hampir sebahagian wang yang diberikan ibu mentuanya untuk menebus barang kemas bagi kegunaan sendiri.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, lelaki itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang selepas mendakwa diragut empat lelaki yang menaiki motosikal di Kampung Hutan Rebana di sini.

Katanya, dia mendakwa, dua rantai emas milik mentuanya, wang tunai RM400 serta kunci keretanya dilarikan.

“Dia mendakwa baru saja selesai menebus barang kemas milik ibu mentuanya di sebuah kedai pajak gadai.

“Ketika dalam perjalanan pulang secara tiba-tiba dia dihimpit dua motosikal Yamaha LC sebelum diragut,” katanya pada sidang media di IPD Machang hari ini.

Menurutnya, polis yang menjalankan siasatan mendapati terdapat keraguan dalam keterangan yang diberikan lelaki itu.

“Hasil siasatan mendapati lelaki itu mereka cerita kerana dia sudah menggunakan RM300 daripada wang RM1,100 yang diberikan mentuanya untuk menebus barang kemas itu selepas mengetahui rantai itu sudah dileburkan.

“Susulan itu, suspek disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 5:16 PM