ANTARA penunggang motosikal yang diperiksa. FOTO Rohanis Shukri
Iqhram Ahmad
am@hmetro.com.my


JALAN rosak dan lewat ke tempat kerja. Itu antara alasan penunggang motosikal yang ditahan polis kerana tidak menggunakan laluan motosikal dalam Op Motosikal di tapak Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam, hari ini.

Lelaki hanya mahu dikenali sebagai Hisham, 22, berkata laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan amat berbahaya kerana struktur jalan tidak rata selain agak sempit.

“Saya tidak kisah menggunakan laluan motosikal jika ia dibaiki dan diselenggara dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, sebanyak 227 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal termasuk 65 saman lain membabitkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 162 motosikal diperiksa dalam operasi bermula 7 pagi tadi. Daripada jumlah kenderaan diperiksa itu, 162 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal, manakala selebihnya atas pelbagai kesalahan lain seperti tiada lesen serta cukai jalan tamat tempoh.

“Dalam operasi sama, polis turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang mempunyai waran tangkap kerana memiliki saman tertunggak membabitkan pelbagai kesalahan selain menyita motosikal ditunggangnya,” katanya ditemui selepas mengetuai operasi itu.

Azman berkata, operasi disertai sembilan pegawai dan 37 anggota itu sebahagian daripada Op Selamat 15 bagi mengambil tindakan terhadap penunggang yang tidak menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan.

“Tindakan penunggang motosikal yang tidak mematuhi peraturan itu akan mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Selain itu, ia juga memberi kesan terhadap tuntutan insurans jika kemalangan berlaku kerana kecuaian sendiri yang menggunakan laluan tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, saman dikeluarkan terhadap kesalahan itu mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 5:31 PM