RIANA (kanan) tidak membuat persiapan Aidilfitri berikutan kebanyakan keluarga di Kampung Aring 5 masih sedih susulan kehilangan ahli keluarga akibat serangan penyakit. FOTO Sharifah Mahsinah Abdullah
Muhamaad Razis Ismail


“NAK sambut hari raya bagaimana dalam keadaan keluarga masih bersedih dengan kehilangan ahli keluarga akibat penyakit misteri,” kata Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5, Raina Anjang 46.

Raina berkata, sebelum ini Aidilfitri di Kampung Kuala Koh disambut dengan meriah biarpun hanya 140 daripada 280 penduduk di situ beragama Islam.

Katanya, kebiasaannya beberapa hari sebelum menyambut hari raya, penduduk sudah bersiap sedia menghias rumah.

“Bagaimanapun pada tahun ini, tiada persiapan dibuat berikutan kebanyakan keluarga di sini masih sedih susulan kehilangan ahli keluarga berikutan serangan penyakit misteri baru-baru ini.

“Tidak mungkin kami dapat menyambut hari raya dalam keadaan masih bersedih dengan pemergian orang tersayang.

“Memang pada tahun ini tiada sebarang persiapan dibuat seperti sebelum ini susulan serangan penyakit misteri itu,” katanya ketika ditemui di Gua Musang, hari ini.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Rama berkata, penduduk kampung masih bimbang dengan keadaan ahli keluarga yang masih menerima rawatan di hospital.

“Mungkin juga selepas ini, kami pula akan menjadi mangsa seterusnya.

“Kami tiada pilihan lain dengan mengambil langkah berjaga-jaga dan terpaksa melupakan sambutan lebaran pada tahun ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:18 PM