RAJA Mariam. FOTO Ihsan Keluarga
Iqhram Ahmad


REMAJA perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Setiawangsa, di Kuala Lumpur, untuk pergi ke kafe siber berhampiran rumahnya, awal pagi hari ini.

Remaja berkenaan, Raja Mariam Raja Azlan Shah, 15, atau lebih mesra dengan panggilan Mariam disedari hilang oleh ahli keluarga selepas didapati tiada di biliknya, 7.15 pagi.

Bapa remaja terbabit, Raja Azlan Shah Raja Azwa, 48, berkata, anak kedua daripada lima adik-beradik itu dipercayai keluar dari rumah, kira-kira 3 pagi tadi.

“Pagi tadi, saya masuk ke bilik Mariam, namun mendapatinya tiada di dalam bilik berkenaan menyebabkan saya bergegas ke kafe siber yang terletak kira-kira 400 meter dari rumah.

“Sebelum kehilangannya, dia ada memaklumkan rangkaian internet di rumah tidak begitu baik. Kebiasaannya, Mariam akan keluar rumah untuk ke kafe siber berhampiran untuk melayari Internet,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raja Azlan Shah berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kafe siber itu mendapati Mariam berada di dalam premis berkenaan sehingga 4 pagi.

“Sehingga jam 5 petang tadi, dia masih belum pulang ke rumah menyebabkan saya risau terhadap keselamatannya memandangkan Mariam tidak pernah keluar rumah terlalu lama seperti ini.

“Apatah lagi, dia keluar dari rumah sehelai sepinggang dan tidak membawa telefon bimbit bersamanya,” katanya yang memaklumkan sudah membuat laporan di Balai Polis Pudu.

Katanya, dia bimbang dengan keselamatan Mariam memandangkan dia tidak pernah pergi ke tempat jauh bersendirian.

“Saya risau dia pergi ke kawasan luar hingga sesat dan tidak menemui jalan balik ke rumah memandangkan dia menghidap autisme menyebabkan Mariam selalu menyendiri dan tidak mempunyai rakan rapat.

“Kami sekeluarga sudah mencarinya di kawasan sekitar Setiawangsa, namun masih gagal menemuinya. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi Mariam diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kali terakhir Mariam dilihat memakai tudung dan baju-T berwarna hitam ketika berada di kafe siber berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:40 PM