KETUA Menteri, Adly Zahari (tujuh dari kanan) meluangkan masa memeriksa sistem peparitan di Kampung Pengkalan Rama Pantai susulan banjir kilat di kawasan sama awal pagi tadi. FOTO Khairunisah Lokman
Fairuz Zaidan
am@hmetro.com.my


MASALAH sampah serta kerosakan pam air di tiga daripada empat baraj di Pintu Kawalan Air Barrage Muara Sungai Melaka, di sini, antara punca utama sering berlakunya masalah banjir kilat di bandar raya ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, gangguan sampah yang banyak turut menyebabkan pam air lambat untuk mengepam lebihan air ke Sungai Melaka sehingga mengakibatkan berlakunya banjir kilat.

“Sehubungan itu, kita meminta orang ramai lebih peka dan mempunyai kesedaran tinggi supaya tidak membuang sampah ke dalam saliran kita bagi mengelak timbunan sampah hingga mengganggu fungsi pam air.

“Dalam masa sama, kita akan teruskan pembinaan rumah pam pada Fasa Kedua Sungai Melaka dan diharap ia boleh berfungsi sepenuhnya Ogos ini dan seterusnya membantu menyelesaikan isu banjir di kawasan bandar,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pintu Kawalan Air Barrage Muara Sungai Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin.

Mengulas lanjut, Adly berkata, banjir kilat di kawasan bandar Melaka turut disebabkan kerosakan tiga daripada empat baraj di pintu kawalan air Muara Sungai Melaka yang menyukarkan proses menyalurkan air sungai ke laut.

“Bagi mengatasi masalah baraj ini, kerajaan negeri telah mengarahkan exco berkaitan dan Setiausaha Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli bagi mempercepatkan proses penyelenggaraan baraj terbabit.

“Di peringkat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula, satu lawatan teknikal telah diadakan dan diharapkan konsultan dilantik dapat melihat semula kaedah baraj yang digunakan termasuk mengkaji semula reka bentuknya yang didapati kurang berkesan menyelesaikan masalah banjir kilat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian terbaru banjir kilat di Melaka hari ini, sebanyak 10 kawasan perumahan termasuk kampung dan taman terjejas ekoran hujan lebat selama lebih dua jam sejak awal pagi hingga memaksa 68 mangsa daripada 19 keluarga di Kampung Enam dipindahkan sementara ke Balai Raya Taman Anika, Kampung Lapan di sini.

“Antara kawasan lain termasuklah Taman Melaka Baru Fasa 2, Taman Limbongan, Taman Merdeka, Taman Malim, Taman Bachang, Taman Lorong Pandan, Taman Jati, Taman Rumpun Bahagia dan Pulau Kelapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:45 PM