DAUN ketum dirampas ATM di sempadan Malaysia-Thailand di Durian Burung, Padang Terap. FOTO ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand serta Myanmar bersama rampasan 1,579 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan lebih RM140,000 di sempadan Malaysia-Thailand di Durian Burung, Padang Terap, semalam.

Panglima Enam Briged Brigadier Jeneral Mohd Halim Khalid berkata, rampasan itu turut membongkar lokasi pembungkusan dan transit ketum serta penyeludupan manusia di sempadan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, pasukan ronda 6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) diketuai Kapten Mohd Padfli Johari bersama empat anggota bertembung seorang lelaki warga asing.

“Menyedari kehadiran pasukan keselamatan, warga asing terbabit cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Tempat warga asing ditahan dipercayai lokasi pembungkusan dan transit ketum untuk penyeludupan di sempadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Halim berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui tiga warga asing iaitu dua lelaki dan seorang wanita sedang bersembunyi di sekeliling hutan cuba melarikan diri namun mereka berjaya ditahan.

Katanya, hasil soal siasat secara lisan dipercayai terdapat tiga lagi warga asing sudah melarikan diri.

“Pada jam 5.30 petang, ketika pasukan terbabit menjalankan pemeriksaan terhadap tangkapan dan barang rampasan dipercayai ketum, tiba-tiba sebuah Pajero berwarna biru merapati lokasi tangkapan.

“Menyedari kehadiran pasukan terbabit, pemandu meloloskan diri ke arah hutan dan meninggalkan kenderaan dipandunya. Pemeriksaan mendapati, kenderaan itu dipenuhi bungkusan plastik hitam dipercayai ketum, turut ditemui kereta Proton Waja berhampiran kawasan berkenaan.

“Hasil soal siasat mendapati, dua lelaki warga Thailand dan Myanmar adalah penyeludup ketum dan manusia ke sempadan negara jiran manakala lelaki dan wanita warga Myanmar berkenaan sedang menunggu kenderaan untuk dihantar ke sempadan,” katanya.

Mohd Halim berkata, semua barang rampasan termasuk wang tunai berjumlah RM3,720 dan tujuh telefon bimbit serta penyeludup dan pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 25 hingga 33 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 7:06 PM