Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEDUDUKAN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal walaupun terpalit isu penyebaran video lucah.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perkara itu dalam mesyuarat Biro Politik PKR, hari ini.

Beliau berkata, mereka sebulat suara menyerahkan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, parti itu masih kekal dengan pendirian dan komitmen untuk menolak politik jijik dan keji seperti apa yang berlaku kini.

"Negara perlu tumpu soal pembangunan ekonomi dan sosial dan tidak terheret ke dalam kancah yang hina.

"Hari ini tiada sebarang keputusan untuk menggantung jawatan (Mohamed Azmin) sebab kita perlu lihat implikasi lain selain tidak mahu mengganggu siasatan pihak berkuasa.

"Namun, PKR akan meneruskan perbincangan dan lebih penting siasatan sepenuhnya diserahkan kepada polis dan SPRM," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Biro Politik PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun tidak hadir dalam mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu.

Anwar berkata, beliau secara peribadi berbincang dengan Mohamed Azmin semalam dan berharap pemimpin nombor dua PKR itu bersama keluarganya tabah menghadapi dugaan.

Katanya, setakat ini PKR tidak melihat isu penyebaran video berkenaan sebagai konspirasi kerana ia memerlukan pembuktian yang jelas.

"Saya fikir perkara seperti ini (penyebaran video lucah) sudah berakhir dan ia pengalaman terakhir berdepan tuduhan itu namun trend berkenaan masih berlaku," katanya.

Ketika ditanya mengenai kedudukan lelaki bernama Haziq Aziz dikaitkan dengan video yang juga ahli PKR, Anwar memaklumkan perkara itu belum diputuskan namun perbincangan lanjut akan dijalankan.

Negara semalam digemparkan penyebaran video lucah yang didakwa mirip Mohamed Azmin bersama seorang lelaki di sebuah bilik.

Namun, seorang lelaki mengaku dia adalah Haziq Aziz di dalam video berkenaan menerusi hantaran di Facebook awal pagi hari ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam video berkenaan sambil menganggap ia tuduhan jahat dan kejam.

Berita berkaitan

Azmin nafi terbabit video lucah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 8:19 PM
ANWAR ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Biro Politik PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria