Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


WISMA Putra akan berjumpa dengan enam rakyat Malaysia yang ditahan kerajaan Indonesia pada 4 Jun lalu, dalam masa terdekat, bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenai apa yang berlaku.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya melalui wakil kedutaan di Republik Indonesia akan bertemu semua yang ditahan serta membantu dalam proses mendapatkan khidmat guaman.

“Saya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu (rakyat Malaysia ditahan) dan kita sedang aturkan pertemuan dengan mereka.

“Dua perkara yang perlu ditekankan di sini iaitu Malaysia menghormati undang-undang Indonesia dan kita serahkan siasatan dijalankan pihak berkuasa di sana. Kedua, kita akan lihat keperluan yang boleh diberikan kepada rakyat kita yang ditahan, selalunya khidmat guaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, malam ini.

Media sebelum ini melaporkan, mereka yang ditahan disyaki terbabit dalam penyeludupan syabu seberat 37 kilogram (kg) menggunakan kapal layar mewah yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara, Jakarta, pada 9.30 malam, 4 Jun lalu.

Menurut Direktor Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia Krisno Siregar, kapal itu dipercayai belayar dari Johor ke Jakarta, hari sama.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, pihaknya berpengalaman berdepan situasi seperti ini dan akan membantu mengikut prosedur sedia ada tanpa membelakangi peruntukan undang-undang negara jiran.

Berita berkaitan

Pelayaran mewah, rupanya...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 10:15 PM