NORAFADILAH bergambar bersama anaknya, Nur Danish Afiq pada Aidilfitri lalu.
Nor Farhani Che Ad


“SEHARI sebelum kejadian, arwah ada minta saya menciumnya berkali-kali ketika saya mahu keluar ke tempat kerja,” kata Norafadilah Ali Othaman, 36, ibu kepada Nur Danish Afiq Nor Hazril, 5, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan.

Kanak-kanak itu dirempuh kereta Proton Saga FLX ketika melintas jalan bersama tiga rakannya di hadapan kedai serbaneka di Jalan Sungai Petani-Baling, Sungai Petani dekat sini, dalam kejadian jam 6.30 petang Isnin lalu.

Mangsa menghembuskan nafas terakhirnya jam 10.20 malam di sisi ahli keluarganya ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Menurut Norafadilah, anaknya minta menciumnya walaupun dia sudah berbuat demikian sebelumnya.

“Saya tidak menyangka itu permintaan terakhirnya sebelum arwah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada keesokan hari,” katanya.

Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah bermain jauh dari rumah sebelum ini termasuk melintas jalan yang jauh dari rumah.

“Seperti biasa setiap petang dia bermain bersama rakan di laman rumah atau di rumah rakan 50 meter saja dari rumah.

“Pada hari kejadian, jam 5 petang arwah ada pulang seketika ke rumah tetapi pergi semula ke rumah rakannya itu untuk mengambil mainan yang tertinggal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Puteri, Kuala Ketil, semalam.

Menurutnya, tidak lama kemudian ketika sedang mandi kerana kerja petang, suaminya, Nor Hazril Hassan, 36, beritahu anaknya dilanggar kereta.

Katanya, walaupun sedih dengan pemergian anaknya itu tetapi dia dan suami tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

“Tiada dendam atau menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku, sebaliknya menganggap sebagai ujian dan menjadi pengajaran mereka sekeluarga,” katanya.

Nur Danish selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Madinatul Ilmi di Kuala Ketil, selepas solat Zuhur semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 6:00 AM