VAN dipandu lelaki Thailand remuk selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 101 Lebuhraya Utara-Selatan. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


LIMA parah manakala tiga cedera ringan selepas van dinaiki melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 101 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Sungai Petani, pagi tadi.

Tiga lagi mangsa yang berada dalam van tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Penyelamat dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.43 pagi dan sepasukan anggotanya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani tiba di lokasi jam 5.52 pagi.

Beliau berkata, dalam kejadian itu pemandu van tersepit manakala mangsa lain cedera dan ada yang tidak cedera.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Aslan Yussof bersama sepasukan anggota dan dua jentera termasuk anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Sungai Petani.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan EMRS manakala yang lain dibawa dengan ambulans KKM.

“Berdasarkan maklumat, semua mangsa adalah warga Laos dan hanya pemandu warga Thailand.

“Mangsa yang parah terdiri dari empat lelaki dan seorang wanita manakala tiga yang cedera ringan adalah lelaki dan tiga lagi lelaki tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 7.11 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 9:15 AM