TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk A Rahman Hassan yang meninggal dunia, tengah malam tadi.

“Salam takziah buat keluarga Allahyarham Datuk A Rahman. Semoga tabah atas berita duka ini.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” kata Dr Wan Azizah menerusi Twitter.

Anwar yang juga Presiden PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau berkesempatan bertemu Allahyarham ketika menghadiri program Ahli Lembaga Pengarah Aswara di Port Dickson pada 21 April lalu.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran Facebook.

Penyanyi terkenal era pop yeh yeh itu dilaporkan meninggal dunia pada usia 73 tahun di Hospital Ampang, jam 12.40 tengah malam.

Allahyarham yang popular pada 1960-an bersama Orkes Nirwana menerusi lagu Tak Mengapa, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang.

Jenazah akan dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat yang turut menempatkan jenazah isterinya, Allahyarham Datin Azizah Mohamad yang meninggal dunia pada 26 April 2013.

Berita berkaitan

A Rahman Hassan sudah tiada

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 9:31 AM