Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PENJUAL ikan menjadikan bilik saluran elektrik di depan rumahnya di pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam, sebagai tempat penyimpanan ganja sejak empat bulan lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 39 tahun itu bertindak demikian kerana menganggap ia lebih selamat jika diserbu pihak berkuasa kerana dadah berkenaan tidak berada di dalam rumahnya.

Dadah itu dipercayai akan diambil suspek untuk diedarkan kepada pelanggan di sekitar pangsapuri berkenaan dan Padang Jawa.

Namun, kegiatan haram bapa seorang anak itu tidak bertahan lama apabila diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya menahan suspek di depan sebuah kedai di pangsapuri berkenaan 2.15 petang.

“Ia kemudian membawa kepada penemuan satu ketulan dadah jenis ganja seberat 145.7 gram (g) di dalam sebuah bilik saluran elektrik di depan rumah suspek.


Baharudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam kes di sekitar Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir

“Siasatan lanjut turut menemui sembilan lagi ketulan kecil dadah di rumah suspek seberat 74.79 g. Nilai keseluruhan ganja dirampas berjumlah RM950,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau membabitkan dadah, curi dan ugutan jenayah.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek turut didapati positif ganja. Suspek direman selama lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Baharudin berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Jawa, Batu 4, Shah Alam, ketika berurusan mengedar dadah, jam 1.30 tengah hari semalam.

"Hasil pemeriksaan pada tubuh suspek berusia 42 tahun dan satu beg plastik menemui 75 peket lut sinar mengandungi dadah jenis syabu.

"Keseluruhan dadah seberat 215 g itu dianggarkan bernilai RM2,250 dan suspek dipercayai aktif mengedar di sekitar Seksyen 36 sejak enam bulan lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 4:54 PM