Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


LELAKI berpakaian seperti ‘lebai’ dan melakukan upacara sembahyang mengikut agama Buddha seperti dalam rakaman video yang tular baru-baru ini membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.

Lim Lip Kok, 43, yang mencetuskan kemarahan warganet terutama umat Islam ditahan polis Isnin lalu sebelum dibebaskan keesokannya selepas kes itu diambil alih oleh Bukit Aman.

Lip Kok yang hadir pada sidang media itu membuat permohonan maaf melalui jurubahasa yang juga Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bagan Selatan, Cheah Han Boon.

Menurutnya, dia menyesal dengan tindakannya itu dan berjanji tidak akan mengulanginya yang menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Katanya, dia langsung tidak mengetahui pakaian yang dipakainya itu boleh menimbulkan kemarahan umat Islam malah tidak menyedari perbuatannya itu dirakam individu tidak dikenali.

“Sidang media ini dibuat bertujuan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam dan saya tidak berniat menyinggung perasaan mereka.


Lim Lip Kok yang berpakaian seperti ‘lebai’ bersalaman dengan Mohd Yusop sebagai tanda permohonan maaf hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“Saya menyesal dengan tindakan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya,” katanya pada sidang media di Tanjung Piandang, Parit Buntar hari ini.

Hadir sama Pengerusi MPKK Sungai Labu Atas, Mohd Suhimi Majid Azizi; Biro Agama Masjid Tanjung Piandang, Mohd Yusop Budin serta Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean.

Sementara itu, Mohd Yusop berkata, dengan permohonan maaf yang dibuat Lip Kok, pihaknya menganggap kes itu selesai namun menasihati semua pihak supaya tidak melakukan perkara sama kerana ia boleh menyentuh sensitiviti agama.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Lebai' sembah berhala disiasat Bukit Aman

'Lebai' sembah berhala dicekup

Video tular 'lebai' disiasat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 5:36 PM