ANGGOTA Penguat kuasa Majlis Daerah Marang (MDM) sedang menangkap lembu yang berkeliaran di kawasan Marang melalui Operasi Menangkap Haiwan Berkeliaran MDM. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


EMPAT ekor lembu dan 10 ekor kambing ditangkap Majlis Daerah Marang (MDM) melalui Operasi Menangkap Ternakan Berkeliaran bermula awal Jun lalu.

Operasi itu bertujuan menangani masalah haiwan ternakan berkeliaran di daerah ini sekali gus menyelesaikan pelbagai masalah penduduk temasuk kemalangan membabitkan ternakan.

Yang Dipertua MDM, Huzairil Ibrahim berkata, operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat orang awam dan ia bermula sejak awal tahun tetapi diperhebatkan pada awal Jun lalu.

“Setakat ini, sebanyak empat ekor lembu dan 10 kambing ditangkap di Kampung Bukit Kemas, Kampung Kelulut, Kampung Surau Haji Yaakob dan Kampung Bukit Parit.

“Tiga lembu dan lima kambing sudah dituntut pemiliknya dan setiap seekor ternakan dikenakan kompaun RM250 seekor.

“Kompaun dikenakan ini diharap menjadi pengajaran kepada penternak supaya tidak sewenang-wenangnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran sehingga menimbulkan pelbagai masalah,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, terlalu banyak masalah timbul berpunca daripada haiwan ternakan antaranya kemalangan, ternakan memusnahkan tanaman penduduk dan masalah najis serta bau busuk di kawasan kediaman penduduk.

“Operasi ini dijalankan secara berterusan dan penternak tidak boleh menyalahkan MDM sekiranya ternakan mereka ditangkap.

“Sepatutnya penternak lebih bertanggungjawab menjaga ternakan masing-masing dengan menternak haiwan itu di dalam kandang,” katanya.

Menurutnya, selain operasi menangkap haiwan ternakan, pihak penguat kuasa MDM juga giat menjalankan operasi menangkap anjing liar.

“Kami juga menerima banyak aduan mengenai anjing liar terutama di kawasan Bandar Marang dan Wakaf Tapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 5:37 PM