AKSI ibu gajah berjaya mengeluarkan anaknya yang terperangkap dalam longkang sedalam hampir satu meter berhampiran Stesen Penyelidikan Getah di Jalan Kota Tinggi-Mersing hari ini mencuri tumpuan ramai.

Difahamkan, anak gajah dianggarkan berusia lingkungan lima bulan itu terjatuh ke dalam longkang sejak 4 pagi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima laporan seekor anak gajah terperangkap di dalam longkang itu 8 pagi tadi.

“Bertindak atas aduan itu, sepasukan anggota dan pegawai PERHILITAN Bandar Penawar, Kota Tinggi, dikejarkan ke lokasi untuk melakukan siasatan.

“Apabila tiba, kami dapati anak gajah berkenaan berusaha menyelamatkan diri dari longkang dianggarkan selebar 0.6 meter itu.

“Pada masa sama, ibu gajah itu berusaha mengeluarkan anaknya,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, usaha berterusan ibu gajah itu berjaya menyelamatkan anaknya 10 pagi tadi.

Katanya, pemantauan mendapati terdapat kesan calar dan darah pada tubuh anak gajah berkenaan dipercayai bergesel dengan longkang simen itu.


Ibu gajah membantu anak gajah naik selepas terjatuh ke dalam longkang di Stesen Penyelidikan Getah (RRI) di Kota Tinggi. FOTO Hairul Anuar Rahim

“Bagaimanapun, anak gajah itu dalam keadaan baik, ia aktif dan boleh berjalan dengan baik sebelum anak dan ibu gajah itu menuju ke arah Hutan Simpan Panti.

“Kami dapati kedua-dua gajah itu daripada kumpulan gajah antara 30 hingga 40 ekor.

“Kumpulan gajah ini dilaporkan menimbulkan konflik di kawasan pertanian bersempadan Hutan Simpan Panti,” katanya.

Menurutnya, antara kawasan terbabit termasuklah Ladang Getah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Kampung Lukut, Kampung Bukit Samsu, Kampung Sendayan, Kampung Temenin, Kampung Mawai dan kebun persendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 1:08 PM