MOHD Azmi Abdul Hamid (tengah) dan Presiden Pertubuhan Al-Khaadeem Sheikh Mohd Husssain Abdullah (dua dari kiri) pada sidang media NGO di Kuala Lumpur. FOTO Nadim Bohari
Yusmizal Dolah Aling


MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa umat Islam di negara ini agar bersatu mempertahankan hak kerajaan Malaysia untuk tidak mengesktradisi pendakwah Dr Zakir ke India walau apa pun tekanan dikenakan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sebagai intelektual Islam yang diiktiraf di seluruh dunia, hujah dan syarahannya tidak mempunyai unsur menghasut atau menghina agama lain seperti didakwa sesetengah pihak terutamanya kerajaan India.

Katanya, kini dakwaan pemindahan wang haram oleh Dr Zakir dijadikan tuduhan pilihan dan India memohon bantuan Interpol untuk mengektradisi pendakwah itu ke negara terbabit walaupun sudah berkali-kali dijelaskan sumber serta prosedur kewangan yang telus.

“Semua dokumen aliran kewangan dan tanggungjawab membayar cukai sudah diserahkan kepada pihak berwajib India. Tekanan dalam Malaysia juga diterima daripada beberapa aktivis sosial, segelintir media tempatan dan ahli politik kerajaan agar segera melakukan proses ekstradisi.

“Namun kami yakin ramai berpandangan bahawa Dr Zakir bukan lagi mahu diadili di mahkamah India kerana sudah pasti tidak akan mendapat perbicaraan adil apatah lagi ketika beliau diberi persepsi buruk oleh kerajaan dan media di sana, tetapi lebih untuk menahan beliau dan tidak membenarkan beliau menyampaikan dakwahnya di negara itu,” katanya pada sidang media Kempen Sokongan Untuk Dr Zakir Naik No Extradition To India, hari ini.

Mohd Azmi berkata, serangan kepada Islam dan pejuang jihad seperti itu bukan perkara baru malah pelbagai tuduhan dilemparkan ekstremis agama kepada Islam sebelum ini untuk mewujudkan Islamofobia dalam kalangan bukan Islam.

Menurutnya, MAPIM dan beberapa NGO turut melancarkan petisyen sejuta tandatangan menerusi dalam talian untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak tunduk kepada sebarang tekanan serta permintaan pihak tertentu. “Kerajaan Malaysia setakat ini masih bertahan dan tidak tunduk kepada tekanan India dan desakan segelintir pihak di sini serta terus membenarkan Dr Zakir berada di Malaysia selagi beliau tidak menyalahi undang-undang negara ini.

“Namun suasana dan iklim politik mutakhir ini agak sukar dan membimbangkan. Justeru kita mesti segera bertindak untuk menyatakan pendirian kita dan sokongan kepada langkah kerajaan jika tidak mahu Islam terus menjadi bahan dagangan kepada pihak yang sengaja menimbulkan kebencian agama di negara ini khususnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 3:28 PM