APM membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS Dewan Serbaguna Membakut, Beaufort. FOTO IHSAN APM
Norasikin Daineh


LIMA keluarga membabitkan 14 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Membakut, Beaufort, petang tadi.

Semua mangsa dipindahkan sejak jam 6 petang selepas air dari Sungai Membakut berada di paras bahaya sehingga melimpah ke penempatan penduduk.

Penolong Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Mejar Erwin Kinsui berkata, sebuah PPS dibuka bagi menempatkan 14 mangsa banjir di daerah ini.

“Enam kampung terjejas dinaiki air ialah Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Kayai, Lampijas dan Kampung Baru.

“Mangsa yang dipindahkan membabitkan lima dewasa, lapan kanak-kanak dan seorang bayi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Erwin berkata, sebanyak lima jalan turut dinaiki air tetapi boleh dilalui semua kenderaan kecuali jalan di Kampung Baitam hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Katanya, memandangkan keadaan paras air sungai berada pada tahap bahaya, dijangka lebih ramai penduduk akan dipindahkan ke PPS.

“Kita jangka pemindahan mangsa akan meningkat. Bagaimanapun, keadaan cuaca sekarang adalah mendung.

“Pemantauan di lokasi banjir akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 9:28 PM