BERUANG matahari semakin berkurangan kesan aktiviti pemburuan haram di hutan simpan negara ini.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Memiliki nilai tinggi sekitar RM2,000 hingga RM7,000 setiap satu di pasaran gelap termasuk turut dijual oleh pemilik premis ubat-ubatan tradisional.

Itu harga pundi hempedu beruang seberat sekitar 30 gram hingga 40 gram dan harganya mampu meningkat sekali ganda apabila diseludup ke Hong Kong, Jepun dan China.

Sumber Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, tarikan harga tinggi ditawarkan ini antara punca beruang madu diburu dan dibunuh berleluasa terutama di Kalimantan, Indonesia, Indochina serta negara ini.

“Jika di Indonesia, hempedu beruang dijual secara besar dalam laman sesawang jual beli pada harga melebihi 8 juta Rupiah (RM2,328).

“Harga pundi hempedu beruang semakin mahal susulan penemuan perubatan oleh sebuah pusat perubatan di London kononnya hempedu beruang mampu memulihkan serangan sakit jantung.

“Maklumat tersebar mendakwa asid Ursodioksikolat (UDCA) di dalam hempedu beruang dapat digunakan untuk mengurangkan penghasilan kolesterol dan melarutkan masalah batu hempedu,” katanya.


TAPAK kaki beruang yang turut dijadikan makanan eksotik.

Menurutnya, penganiayaan terhadap beruang bukan perkara baru malah wujud industri kejam pengumpulan cecair hempedu menggunakan beruang yang masih hidup.

“Biasanya beruang ini dikurung di dalam sangkar sempit sebelum cairan pencernaan yang dihasilkan oleh hati dan disimpan di kantung hempedu disedut keluar menggunakan tiub ditusuk pada badan beruang itu.

“Perbuatan kejam ini dilakukan bagi memenuhi permintaan industri perubatan tradisional. Dianggarkan terdapat 12,000 ekor beruang yang diternak untuk diambil air hempedunya di China, Korea Selatan, Laos, Vietnam dan Myanmar ketika ini,” katanya.

Difahamkan spesies beruang yang menjadi mangsa kegiatan ini membabitkan spesies beruang terutamanya beruang hitam (Ursus thibetanus) dan beruang madu (Helarctos malayanus).

Walaupun aktiviti ini dikutuk oleh aktivis dan badan pencinta haiwan namun nilai dagangan hempedu beruang mencecah jutaan Dollar Amerika setahun menyebabkan kegiatan ini gagal dihalang sepenuhnya.

“Berdasarkan siasatan, perniagaan cecair hempedu beruang dalam bentuk mentah, pil, serbuk atau krim sapuan didakwa kononnya mampu menyembuhkan pelbagai penyakit lain.

“Selain cecair hempedu dan pundi hempedu beruang, hampir semua bahagian lain pada beruang memiliki nilai tertentu.


KUKU beruang yang dijadikan tangkal.

“Sebagai contoh, bulu, kuku dan gigi beruang turut mendapat permintaan di kalangan pengumpul barangan aneh selain dijadikan koleksi trofi,” katanya.

Malah bagi penggemar makanan eksotik, tapak kaki beruang dan daging beruang menjadi hidangan mewah berikutan kesukaran untuk mendapatkan daging haiwan ini.

Berdasarkan maklumat dikumpulkan Kumpulan Pemantauan Hidupan Liar Traffic, hampir separuh dari kedai ubatan tradisional di Malaysia dikesan menjual produk berasaskan organ haiwan liar dilindungi secara haram termasuk spesies beruang.

Walaupun kebanyakan barangan ini dikatakan telah diimport, sebahagian pundi hempedu dipercayai diperoleh daripada Malaysia.

Isu beruang madu Malaysia mula hangat diperkatakan selepas seorang artis ditahan pihak Perhilitan selepas dikesan menyimpan secara salah seekor anak beruang di kediamannya di Ampang di sini Khamis lalu.

Sebelum itu, Perhilitan turut berjaya membongkar kegiatan memburu secara haram dan mengambil bahagian anggota haiwan liar bernilai kira-kira RM600,000 di Taman Negara Terengganu.

Hasil penahanan dua pemburu haram warga Vietnam itu, pihak Perhilitan merampas kuku, taring, hempedu, daging serta tulang dipercayai anggota spesies harimau belang, harimau kumbang, beruang matahari dan babi hutan.


PUNDI hempedu beruang yang mempunyai nilai tinggi di pasaran gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 5:01 AM