SUSPEK diberkas orang awam di sebuah medan selera sebelum diserahkan kepada polis. FOTO Erika George
SUSPEK diberkas orang awam di sebuah medan selera sebelum diserahkan kepada polis. FOTO Erika George
Erika George


CUBAAN dua lelaki meragut beg tangan seorang wanita di medan selera dekat pasar raya Medan Raya, Bintulu, gagal apabila diberkas orang awam sebelum diserahkan kepada polis jam 3.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, keberanian orang awam memberkas peragut berusia 27 tahun turut membawa kejayaan kepada polis menahan rakan subahat yang sempat melarikan diri ketika kejadian.

Beliau berkata, tindakan berani orang awam itu, dapat menyelesaikan kebimbangan orang awam mengenai kes ragut yang berlaku di Bintulu.

“Ketika kejadian, kedua-dua suspek yang seusia bertindak melarikan beg tangan seorang wanita berusia 56 tahun yang sedang minum bersama suami dan anaknya di medan selera terbabit.

“Seorang peragut bertindak mengambil dan melarikan beg tangan mangsa yang diletakkan di atas meja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menyedari perbuatan itu orang awam tekad mengejar suspek sebelum kedua-duanya sempat melarikan diri menggunakan motosikal.

“Namun, motosikal yang dinaiki terbabas di tepi jalan dan penunggang dapat melepaskan diri manakala pembonceng ditahan orang awam dan diserahkan kepada polis.

“Beberapa jam kemudian, peragut yang melarikan diri turut menyerah diri di Balai Polis Bintulu. Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Bintulu untuk permohonan reman bagi membantu siasatan ragut di sekitar Bintulu,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 12:07 PM