ANGGOTA bomba membawa naik kereta Perodua Kancil yang terbabas ke dalam parit selepas bertembung dengan motosikal dalam kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki di Jalan Haji Suhaimi, Sepintas, Sabak Bernam, petang semalam. FOTO ihsan bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


PERJALANAN pulang seorang lelaki berakhir tragedi apabila motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta di Jalan Haji Suhaimi, Sepintas, Sabak Bernam, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa, Baharudin Saleh, 61, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Manakala, pemandu Perodua Kancil berusia 42 tahun cedera di kepala dan badan selepas kereta itu terjunam ke dalam parit di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Suzuki RC 100 bersendirian itu sedang menuju ke rumahnya di Batu 4, Sepintas.

“Setibanya di lokasi kejadian, Perodua Kancil itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di bahu jalan manakala kereta berkenaan terjunam ke parit,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta dikeluarkan oleh bomba.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat dan pemandu kereta turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 12:37 PM