FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

POLIS menahan dua beradik kerana dipercayai terbabit dalam kes penggunaan wang palsu RM100 di Kemaman, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kakak dan adik lelakinya masing-masing berusia 40-an dan 20-an ditahan di Kuala Lumpur pada Khamis dan Jumaat lalu oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman.

“Kita berjaya mengesan suspek iaitu seorang wanita dan adik lelakinya berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan digunakan mereka ketika berurusan di daerah ini.

“Berdasarkan maklumat ini, JSJK IPD Kemaman melakukan membuat serbuan di sebuah kediaman di Kuala Lumpur dipercayai dijadikan pusat operasi pencetakan wang palsu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas sepasang baju kebaya dipakai suspek wanita ketika berurusan di beberapa premis di Kemaman selain sebuah mesin pencetak wang serta bahan pembuatan wang palsu.

Menurut Mohd Haki, siasatan awal mendapati suspek dikatakan baharu sahaja menjalankan aktiviti mencetak wang palsu dan menjadikan Terengganu sebagai lokasi percubaan sebelum menggunakannya di negeri lain.

Kedua-dua suspek dibawa ke daerah ini dan masing-masing ditahan reman untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, tular di laman sosial Facebook mengenai seorang wanita berkebaya hijau yang menaiki kereta mewah menggunakan wang kertas RM100 dipercayai palsu untuk berbelanja di gerai sekitar daerah itu pada awal Syawal lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 6:00 PM