MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian selepas kemalangan di Kilometer 261, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kerteh, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.


LELAKI maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 326, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Kerteh, malam tadi.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, Muhammad Nur Afifi Bin Abdul Rahman, 23, dari Taman Mesra 3, Balai Besar, Dungun, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di bahagian muka.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam perjalanan dari arah Kemaman untuk pulang ke rumahnya di Dungun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

“Mangsa dipercayai tercampak ke atas jalan yang menyebabkan parah pada bahagian muka dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Haki berkata, jenazah mangsa kemudiannya diserahkan kepada keluarga mangsa untuk urusan pengebumian.

Beliau berkata, kejadian berlaku di jalan lurus dalam keadaan lalu lintas tidak sibuk selain cuaca baik.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 6:04 PM