ANGGOTA imigresen menyerbu pusat hiburan dan menahan GRO warga asing. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Pulau Pinang
Shamsul Munir Safini

KAWASAN tanah perkuburan, pusat hiburan dan premis makanan sekitar negeri ini digempur Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang kelmarin sebelum menahan 51 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah JIM negeri, Muhammad Husni Mahmud berkata, dalam serbuan di 14 lokasi dan premis berasingan di sekitar Pulau Pinang itu, pihaknya memeriksa lebih 90 warga asing sebelum 51 daripada mereka ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

Sembilan daripada 51 PATI ditahan di tapak perkuburan Bukit Mertajam jam 10 pagi kelmarin ketika bekerja menggali lubang kubur dan membersihkan kawasan itu.

Beliau berkata, semua mereka ditahan kerana bekerja di situ tanpa permit yang sah selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan.

“Dalam operasi antara jam 10 pagi sehingga lewat tengah malam itu,, JIM negeri menyerbu premis hiburan di Simpang Ampat sebelum menahan 18 wanita dan seorang lelaki warga asing.

“Semua PATI wanita berkenaan dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO),” katanya.

Menurut Muhammad Husni, pihaknya turut menyerbu beberapa rumah yang disewa warga asing sebelum menahan beberapa PATI di situ.

PATI yang diberkas membabitkan sembilan lelaki dan seorang wanita Indonesia, seorang lelaki Nepal, dua wanita dan 13 lelaki Bangladesh, lima lelaki dan 18 wanita Thailand, seorang Myanmar; seorang lelaki Pakistan dan seorang wanita warga Laos.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:30 AM