ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran rumah di Lorong Kilang Kopi Lama. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


RUMAH satu tingkat di Lorong Kilang Kopi Lama, dekat Alor Setar musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian 11.40 malam itu, tiada mangsa dilaporkan berada dalam rumah berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Penyelamat dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.42 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba pada 11.45 malam.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkiflee Md Esa bersama sepasukan anggota dan dua jentera serta sebuah lori tangki.

“Anggaran kemusnahan dalam kebakaran itu adalah sebanyak 80 peratus dan turut membabitkan sebuah motosikal yang musnah 40 peratus.

“Operasi turut dibantu anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya, 1.24 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:44 AM