PERKAMPUNGAN Orang Asli suku Batek di Kuala Koh. FOTO Syamsi Suhaimi
Nor Fazlina Abdul Rahim


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan menanggung kos pengebumian semula 14 mayat Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh yang meninggal dunia dipercayai jangkitan radang paru-paru.

Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd AzlanAbdul Hadi berkata, bagi yang beragama Islam, pihaknya akan menguruskan proses pengebumian di tanah perkuburan Kuala Koh atau lokasi lain bergantung kepada permintaan keluarga.

“Manakala, bagi yang bukan bergama Islam, kita akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk pengurusan berkenaan, namun kos ditanggung oleh MAIK.

“Buat masa ini, MAIK dibantu JAKOA masih di peringkat pengecaman bagi mengetahui jumlah mangsa yang beragama Islam.

“Setiap nama mangsa akan disemak menerusi data kita bila mereka memeluk Islam dan jika tiada, kita perlu merujuk penduduk kampung terlebih dahulu bagi pengesahan sama ada mereka memeluk Islam atau sebaliknya.

“Perancangan awal kami, bagi yang beragama Islam, kita akan mengebumikan mereka di tanah perkuburan di perkampungan Kuala Koh, namun jika terdapat permintaan keluarga mahukan di Bandar Gua Musang, kita akan turutkan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, polis memaklumkan empat mayat terakhir Orang Asli suku Batek ditemui pasukan pencarian selepas perjalanan mengambil masa dua jam menggunakan bot dan satu jam berjalan kaki.

Penemuan empat mangsa terakhir itu menjadikan kesemua 12 mayat sudah ditemui sejak Ops Batek bermula sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata, identiti mayat mangsa dipercayai Haikal Rahim, 22; Farah Rahim, 20; Puspa Lee, 4 dan Ameer Lee berusia setahun.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 1:16 PM